Monday 25 April 2011

Murid Sekolah Obesiti

23 tahun dahulu, kantin sekolah menyediakan makanan yang sama seperti hari ini. Setiap hari dalam program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) disediakan nasi lemak sebagai hidangan sarapan bagi murid sekolah yang kurang berkemampuan. Tetapi tiada pun permasalahan obesiti dikalangan pelajar sekolah pada masa itu. Ini samada tidak ada langsung kes obesiti, bilangan kes terlalu kecil, kes tidak dilaporkan. Tetapi tidak pula dibincangkan secara umum dan tiada satupun cadangan untuk mengawal penjualan makanan di kantin sekolah. Mungkin Menteri Kesihatan pada masa itu sibuk untuk mengejar objektif kesihatan yang lain, yang lebih penting untuk pembangunan negara.

Pada pandangan saya, masalah ini bukan berpunca daripada makanan yang dijual di kantin sekolah tetapi Kementerian Pelajaran seharusnya mengambil inisiatif bagi mengatasi masalah ini. Kementerian Pelajaran seharusnya mengambil pendekatan dengan menggubal dan menambahbaik kurikulum pendidikan agar masalah ini dapat dibendung. Dahulu kami pelajar begitu aktif pantang ada masa terluang akan kami isikan dengan aktiviti fizikal contohnya setiap kali, setiap hari sewaktu rehat makan dalam 20 minit kami masih mampu untuk bermain bola sepak dipadang, bermain galah panjang dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh membakar lemak dan membuang dan membakar kolesterol yang ada dari pengambilan makanan yang dijual di kantin sekolah.

Kini kebanyakkan sekolah tidak memiliki padang permainan sendiri, kebanyakkan ruang kosong atau padang yang ada digunakan untuk membina bangunan sekolah yang baru untuk mengatasi masalah tidak cukup ruang bilik darjah dan pelbagai lagi infrastruktur yang lain. Yang tinggal cuma beberapa sekolah yang ternama masih memiliki ruang lapang, yang lainnya telah kehilangan ruang lapang bagi pelajar menghabiskan masa untuk membakar kolesterol.

Jangan kita salahkan nasi lemak kerana nasi lemak memang sinonim dengan budaya melayu sejak dari dulu lagi. Nasi lemak adalah budaya kita. Jati diri kita masyarakat Malaysia. Diharapkan agar kementerian berkenaan usah lagi menimbulkan usul yang pada pandangan saya tidak masuk akal logik kita. Usah membazirkan peruntukan belanjawan mengurus untuk mengambil pakar pemakanan demi untuk mengatasi masalah ini. Jimatkan peruntukan itu demi pembangunan modal insan. Bukan hanya pentingkan akademik tetapi pencapaian sahsiah dan jatidiri pelajar. Banyak yang boleh dilakukan dengan Implementasi Kewangan yang ada sekiranya berhasrat untuk mengambil pakar pemakanan.

Lagi satu, suasana kejiranan yang tidak selamat, kebelakangan ini kebanyakkan pelajar sekolah banyak menghabiskan mas berada di sekolah ataupun dirumah melakukan aktiviti yang tidak mengeluarkan peluh. Apa tidaknya, nak keluar rumahpun kita takut dengan kejadian jenayah yang berleluasa. Keselamatan tidak terjamin, kes kehilangan kanak-kanak yang tidak ada kesudahan dan tiada pendekatan yang logik bagi mengatasi masalah keselamatan ini.

Kita sebagai masyarakat Malaysia seharusnya bersatu bagi mengatasi masalah ini. Bergandingan bahu bersama kerajaan menyuarakan pendapat yang mungkin lebih baik daripada yang pernah dan terfikirkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan lain disebalik isu yang digembar-gemburkan ini.

Anak sewaktu kecil adalah milik kita, sudah besar milik masyarakat. Bersamalah kita menjaga anak kita bersama-sama. Jangan mudah melatah sekiranya anak kita ditegur kerana kelakuan dan perbuatan mereka difikirkan kurang senang di pandangan mata masyarakat. Sekiranya kita menerima teguran mereka nescaya kita sama-sama menjaga anak-anak kita. Oleh itu pepatah Jangan Jaga Tepi Kain Orang Laintidak patut di praktikkan cuma yang perlu diamalkan ialah jangan mengaibkan orang lain. Sekian.. Jumpa lagi…

No comments:

Post a Comment